Monday, 15 December 2014 0 comments

Impak Fikir Tanpa Zikir



'' Dengan mengingati Allah, Hati akan menjadi tenang "


Manusia dimuliakan Allah dengan akal fikiran. Sekaligus membezakan antara manusia dan binatang. Akal yang dianugerahkan oleh Allah bukan sebagai barang perhiasan. Ia dikurniakan dengan matlamat dan tujuan yang jelas. Allah ta’ala menyebut berulangkali di dalam Al-Quran tentang anjuran supaya manusia berfikir.



* Berfikir & terus berfikir, itu galakan dalam Al-Quran.

Apabila melihat sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan kita, maka akal fikiran yang kita ada harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menilai dan membuat pertimbangan. Baik atau buruk, bermanfaat atau merugikan dan sebagainya.



* Cuma persoalannya, adakah memadai fikir itu tanpa elemen zikir?

Manusia ditentukan jahat atau baiknya, dengan seketul daging yang terdapat di dalam tubuh mereka. Seketul daging itu dinamakan sebagai hati. Tempat berkumpul kebaikan mahupun kejahatan.

Jika baik ia, baiklah seluruh anggota. Termasuk otak dan akal fikiran. Jika buruk ia, buruklah seluruh anggota. Termasuk otak dan akal fikiran.


Berfikir menggunakan otak, walau sehebat mana sekalipun daya intelektualnya, jika tidak bersandar kepada hati yang bersih, ia tidak akan ke mana. Apabila buah fikiran itu dilontarkan kepada umum pula, ia jauh sekali dari membawa kebaikan untuk sesiapa. Ia tidak masuk ke dalam hati orang yang mendengar, kerana ia tidak datang dari hati yang hidup.




* Ya. Hati yang hidup itu adalah hati yang bersalut zikir.


Zikir adalah soal hubungan seseorang hamba dengan Tuhannya. Sejauh mana seorang manusia itu mengingati dan berpegang teguh dengan arahan dan larangan Tuhannya. Zikir itu ingatan yang teguh, kukuh dan padu. Zikir itulah yang menjadikan hati kita cantik dan molek.

Seorang manusia yang mengambil berat aspek zikir iaitu hubungannya dengan Allah, akan menjadikannya berfikir dalam ruang lingkup yang benar dan tepat. Ini kerana akal dan fikirannya bersandar kepada petunjuk hati yang bersih. Sebaliknya, manusia yang hanya banyak berfikir tanpa mengukuhkan elemen zikir, akan menjadikan buah fikirannya kerap kali melencong dan tidak tepat. Ini kerana akal dan fikirannya berpandu kepada petunjuk hati yang kotor.





Kita nilaikan diri kita masing-masing.



* Adakah kita tergolong dalam golongan yang pertama atau kedua.


Jika fikir kita bersalut zikir, insyaAllah kita akan sentiasa berhati-hati dalam ucapan, tidak mencetus perbalahan dan tidak ego untuk berlapang dada sesama manusia. Tetapi orang yang hatinya kotor, mengenepikan aspek zikrullah dalam diri, akan hanya bertindak mengikut dorongan hawa nafsunya semata-mata dan akan melakukan apa sahaja yang difikirkannya sebagai betul.


Walhal, betul atau tidak buah fikiran kita sangat berkait rapat dengan elemen zikir dalam diri kita.
Itulah yang dinamakan impak fikir tanpa zikir. Semoga kita tidak tergolong dalam golongan seperti ini, kerana apabila sampai ke satu tahap, pintu hatinya akan tertutup untuk menerima cahaya kebenaran, biar berjuta-juta dalil sekalipun dibentangkan di hadapannya.




Wallahualam.Sekian .........
Saturday, 13 December 2014 0 comments

Kalamullah [ Al-Quran ]



Assalamualaikum w.b.t


Post entry kali ini ingin berbicara tentang Kalamullah Al-Quran .Perkara penting yang perlu kita fahami di dalam kalamullah al quran ini adalah  pengertian, keistimewaan dan isi kandungan al-Quran.


Pengertian al-Quran Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dengan perantaraan Malaikat Jibril.


Apa keistimewaan al-Quran? Sebagai seorang Islam wajib mengimaninya kerana terkandung di dalam Rukun Iman ketiga 'Beriman kepada kitab'. Seperti yang telah diketahui, al-Quran adalah mukjizat agung yang telah dianugerahkan Allah kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Jika dibincangkan secara mendalam terlalu banyak keistimewaan al-Quran, namun perkara asas yang difikirkan logik hanya beberapa perkara yang disampaikan di sini sebagai keutamaannya;


1. kekal sehingga hari kiamat. Tidak akan ada kitab lain menggantinya.
2. sebagai penawar segala penyakit. (terlalu banyak bukti)
3. keindahan gaya bahasa yang tiada tandingan. (kenyataan sahih)
4. pembaca dan pendengarnya mendapat pahala. (sudah terang lagi bersuluh)





Apa Isi kandungan al-Quran?

1. mengandungi perkara akidah dan keimanan.
2. peraturan dan undang-undang
3. perkara akhlak dan
4. ilmu pengetahuan, tidak terhad kepada ilmu agama sahaja.
5. kisah-kisah nabi dan rasul. Bersama fikirkan mengapa al-Quran dijadikan kitab terakhir bagi menggantikan semua kitab yang telah diturunkan Allah kepada nabi dan rasul yang lain?.



Tentu ada sebab dan musababnya. Sememangnya sebagai insan biasa kita tidak akan mampu menafsirkan segala kejadianNya, namun kita juga diperintah untuk berfikir.....berfikir dan berfikir....jadi, fikir-fikirkanlah....dan selamat beramal dengan al-Quran.
Tuesday, 9 December 2014 0 comments

Peristiwa Wahyu di Gua Hira'



Nabi  Muhammad  SAW  terkenal  dengan  sifat  terpuji dalam  kalangan  masyarakat  Arab. Baginda  diberi  gelaran Al-Amin. Sbelum  dilantik  menjadi  Rasul, baginda mengasingkan  diri daripada kaumnya  yang  sesat  dan  tidak berakhlak. Baginda  memilih  Gua  Hira'  yang  terletak  di 'Jabal Nur' sebagai  tempat  beribadat.


Baginda  beribadat  beberapa  malam  sebelum  pulang menemui  keluarganya  bagi  mengambil bekalan  yang disediakan  oleh  isterinya, Saiditina  Khadijah  binti Khuwailid. Baginda  berulang alik  ke  Gua  Hira'  sehinggalah wahyu  diturunkan  kepada  baginda.



Peristiwa di Gua Hira' Pada hari Isnin, 17 Ramadhan bersamaan 6 Ogos 610 masihi, ketika Nabi Muhammad SAW sedang beribadat di Gua Hira', tiba-tiba datang Malaikat Jibril membawa wahyu yang pertama. Maka berlaku dialog antara Malaikat Jibril dengan Nabi Muhammad SAW.




Selepas itu, Malaikat Jibril memeluk Nabi Muhammad SAW dengan sekuat-kuatnya sehingga baginda sukar bernafas. Kemudian dilepaskan tetapi diulanginya supaya Nabi Muhammad SAW membaca sekali lagi. Jawapan yang sama telah diberikan oleh Nabi Muhammad SAW bahawa baginda tidak tahu membaca. Nabi berasa gementar lalu baginda bertanya, "Apa yang saya hendak baca?" Malaikat Jibril menjawab, " Kemudian Jibril menyuruh nabi membaca :


اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ{1} خَلَقَ الإِنسَانَ مِنْ عَلَقٍ{2} اقْرَأْ وَرَبُّكَ الأَكْرَمُ{3} الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ{4} عَلَّمَ الإِنسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ{5


" Maksudnya : Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (sekalian makhluk) [ 1 ]. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku [ 2 ]. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah [ 3 ]. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan [ 4 ]. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya [ 5 ]. "


Nabi Muhammad SAW pun membaca apa yang diajarkan oleh Malaikat Jibril. Setelah itu Malaikat Jibril menghilangkan diri. Selepas  itu, Rasullah  SAW pulang  ke rumah  dalam keadaan  gementar, baginda  mendapatkan Saiditina  Khadijah  dan  bersabda, "selimutkan  aku, selimutkan  aku." Saiditina  Khadijah  segera  menyalimutkan baginda  sehingga  hilang  rasa  takut. Baginda menceritakan apa  yang  berlaku  keatas dirinya  dan  Saiditina  Khadijah menenangkan  Rasulluah saw.
Friday, 5 December 2014 0 comments

Full Time Muslim For [ 4 B ]




Assalamualaikum w.b.t.



Alhamdulillah, disaat masa yang terluang ini dapat saya mencoretkan beberapa pengisian yang bernilai  untuk kita yang sering mencari perubahan dan penilaian diri dalam menuntut ilmu. Dimana jua destinasi yang kita hadapi dan setinggi mana ilmu yang dikecapi itu adalah peneman hidup seharian kita.  Corak pengamalan ilmu itu amat berharga jika diri kita sendiri bersedia untuk membuahkan hasil ilmu  yang ada disanubari hati. Disebalik pelaksanaan dan perbuatan yang sering kita lakukan itu dikira  sebagai sesuatu ibadah yang amat bernilai, bila mana pengaplikasian seterusnya dapat menongkah arus kecemerlangan kehidupan seharian.




Walaupun sesibuk mana saya dalam mengulangkaji pelajaran sempena final exam yang akan bakal saya hadapi , tidaklah menjadi satu bebanan tanggungjawab dalam menaburkan syiar-syiar dakwah islam itu sendiri kerana kita berada di muka bumi Allah yang fana ini hanyalah pengabdian kita kepada sang maha pencipta yang kita agungi iaitu Allah s.w.t tuhan semesta alam .




Ketahuilah wahai saudara seislamku yang dirahmati Allah sekalian, wajib ke atas kita untuk mengetahui dan mempelajari 4 perkara :




1- Berilmu



Dengan ilmu itu kita mengenali Allah s.w.t, Nabi Muhammad s.a.w dan mengenali agama Islam yang mulia ini. Kerana tidak mungkin kita menyembah Allah s.w.t tanpa ilmu. Dan barangsiapa yang melakkukan yang demikian itu maka akan menjerumuskan dia ke lembah kesesatan dan ianya menyerupai perbuatan kaum Nasrani kerana kaum Nasrani itu menyeleweng dan menyimpang dari kebenaran.



2- Beramal



Barangsiapa yang berilmu tapi tidak beramal, maka dia itu menyerupai kaum Yahudi kerana kaum Yahudi itu berilmu dan mengetahui sesuatu ilmu tetapi mereka tidak mengamalkannya. Mereka mengetahui kebenaran tetapi mereka meninggalkannya. Firman Allah yang bermaksud



"Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?"



3- Berdakwah dengannya



Ulama' dan para pendakwah itu merupakan pewaris para Nabi. Allah s.w.t telah melaknat Bani Israel kerana "mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan". Setelah kita mempelajari ilmu dan beramal dengan ilmu itu maka perlulah kita berdakwah atau menyampaikan kepada orang lain sesuai dengan sunnah Nabi s.a.w. Sabda Nabi yang bermaksud



"Sampaikan dariku walau sepotong ayat"



4- Bersabar di atas ujian



Kita hendaklah bersabar di atas ujian yang bakal menimpa kita ketika kita melakukan ketiga-tiga perkara di atas iaitu ketika mempelajari ilmu, beramal dengan ilmu dan ketika berdakwah menyampaikan ilmu. Firman Allah yang bermaksud



"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)". 


p/s : Petikan dari muqaddimah Kitab Tafsir al-'Usyri al'-Akhir min al-Quran min Kitab Zibdah Tafsir oleh Syeikh Doktor Muhammad bin Sulaiman al-Ashqor. Ok semoga bermanfaat...
Thursday, 4 December 2014 0 comments

Rantaian Susur Jalan Kehidupan



Sedar  tidak sedar daripada mimpi yang panjang , akhirnya masa sudah tiba dalam mengorak langkah kegemilangan kemenangan dan kekalahan . Kemenangan apa ? Kekalahan apa ? Bukan ingin mempersoalkan kemenangan atau kekalahan tetapi kesedaran kita dalam bangkit berjuang mengorak langkah islam itu sendiri dalam medan dunia dakwah , politik , agama dan sebagainya kerana  didunia ini yang tidak menjanjikan umatnya akan kekal selama-lamanya .


Sudah lama saya dikawal gerak. Dikawal dengan sebuah ideologi dan gaya hidup yang paling bisa beracunnya , tetapi dihias indah dengan kesenangannya . Saya buta dalam memilih. Saya khilaf dan terpelosok jurang  dalam menafsir sesuatu perkara. Sudah lama Tuhan membiarkan saya hanyut bersama kekhilafan  yang didokong oleh diriku.


Saya menatap doa kesyukuran dan keredhoan , walau diri saya  tidak tahu apa yang baik bagi diriku. Saya hidup dengan telunjuk manusia yang pelbagai. Ada yang menunjuk ke kiri, ada yang menunjuk ke kanan, hatta ada juga yang menunjuk ke bawah, sebuah satu  isyarat   “ Mati sebelum mati ”. Dikawal seperti layang-layang yang tidak terputus talinya.


Disaat umur yang dikurnia ini semakin lama semakin bertambah. Tetapi saya merasakan semakin kurang bijak . Semakin hari saya bertemu dengan pelbagai ragam dan keindahan dunia. Semakin banyak pula yang melekat dalam hati sanubari . Walaupun dilindung, ia tetap meresap. Pergolakan jiwa muda dari  dalam yang meronta-ronta meminta lagi dan berterusan lagi. Apakah yang inginku capai ?





Rupanya, selama ini Tuhan telah lama memberikan isyarat. Sesuatu yang boleh menjadi suatu titik tolak untuk berubah. Saya mengenali pula sesuatu yang lain daripada luar sempadan hidupku. Saya melihat dunia ini luas rupanya. Mengapa saya hanya menjadi layang-layang, dan tidak burung yang bebas menentukan hala tuju hidupnya sendiri.


Kesedaran itu berlaku , baru saya tahu mindaku ini sempit rupanya, hatiku kecil. Semua ini kerana saya melihat dengan mata. Bukan dengan hati yang perlu dibentuk dengan  keikhlasan, kekuatan , ketabahan tetapi  kebenaran rupanya luas dan sentiasa tertegak walaupun sentiasa dijatuhkan. Siapa yang dapat melawan kuasa Tuhan?  


Hari ini masa sudah suntuk lagi untuk saya  terkial-kial mencari dan mengikut telunjuk orang lain. Hayatku ini adalah satu amanah, tanggungjawab tetapi mengapa ia perlu dikawal oleh sebenang tali yang sesiapa sahaja boleh mengawalnya? Bukan kecil hatiku sebenarnya untuk mencoretkan nilaian ilmu ini .  Biarkan ia bertatih asalkan langkah itu yakin dan cermat bagi memastikan jiwa ini merdeka dari segala ranjau dan onak duri yang tidak akan kehabisan .

Perjuangan yang belum selesai …

Hanya kepada Tuhan aku memohon segala kebaikan…

Wallahualam
 
;