'' Dengan mengingati Allah, Hati akan menjadi tenang "
Manusia dimuliakan Allah dengan akal fikiran. Sekaligus
membezakan antara manusia dan binatang. Akal yang dianugerahkan oleh Allah
bukan sebagai barang perhiasan. Ia dikurniakan dengan matlamat dan tujuan yang
jelas. Allah ta’ala menyebut berulangkali di dalam Al-Quran tentang anjuran
supaya manusia berfikir.
* Berfikir & terus berfikir, itu galakan dalam Al-Quran.
Apabila melihat sesuatu perkara yang berlaku dalam kehidupan
kita, maka akal fikiran yang kita ada harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk
menilai dan membuat pertimbangan. Baik atau buruk, bermanfaat atau merugikan
dan sebagainya.
* Cuma persoalannya, adakah memadai fikir itu tanpa elemen
zikir?
Manusia ditentukan jahat atau baiknya, dengan seketul daging
yang terdapat di dalam tubuh mereka. Seketul daging itu dinamakan sebagai hati.
Tempat berkumpul kebaikan mahupun kejahatan.
Jika baik ia, baiklah seluruh anggota. Termasuk otak dan
akal fikiran. Jika buruk ia, buruklah seluruh anggota. Termasuk otak dan
akal fikiran.
Berfikir menggunakan otak, walau sehebat mana sekalipun daya
intelektualnya, jika tidak bersandar kepada hati yang bersih, ia tidak akan ke
mana. Apabila buah fikiran itu dilontarkan kepada umum pula, ia jauh sekali
dari membawa kebaikan untuk sesiapa. Ia tidak masuk ke dalam hati orang yang
mendengar, kerana ia tidak datang dari hati yang hidup.
* Ya. Hati yang hidup itu adalah hati yang bersalut zikir.
Zikir adalah soal hubungan seseorang hamba dengan Tuhannya.
Sejauh mana seorang manusia itu mengingati dan berpegang teguh dengan arahan
dan larangan Tuhannya. Zikir itu ingatan yang teguh, kukuh dan padu. Zikir
itulah yang menjadikan hati kita cantik dan molek.
Seorang manusia yang mengambil berat aspek zikir iaitu
hubungannya dengan Allah, akan menjadikannya berfikir dalam ruang lingkup yang
benar dan tepat. Ini kerana akal dan fikirannya bersandar kepada petunjuk hati
yang bersih. Sebaliknya, manusia yang hanya banyak berfikir tanpa mengukuhkan
elemen zikir, akan menjadikan buah fikirannya kerap kali melencong dan tidak
tepat. Ini kerana akal dan fikirannya berpandu kepada petunjuk hati yang kotor.
Kita nilaikan diri kita masing-masing.
* Adakah kita tergolong dalam golongan yang pertama atau
kedua.
Jika fikir kita bersalut zikir, insyaAllah kita akan
sentiasa berhati-hati dalam ucapan, tidak mencetus perbalahan dan tidak ego
untuk berlapang dada sesama manusia. Tetapi orang yang hatinya kotor,
mengenepikan aspek zikrullah dalam diri, akan hanya bertindak mengikut dorongan
hawa nafsunya semata-mata dan akan melakukan apa sahaja yang difikirkannya
sebagai betul.
Walhal, betul atau tidak buah fikiran kita sangat berkait
rapat dengan elemen zikir dalam diri kita.
Itulah yang dinamakan impak fikir tanpa zikir. Semoga kita
tidak tergolong dalam golongan seperti ini, kerana apabila sampai ke satu
tahap, pintu hatinya akan tertutup untuk menerima cahaya kebenaran, biar
berjuta-juta dalil sekalipun dibentangkan di hadapannya.
Wallahualam.Sekian .........
0 comments:
Post a Comment